Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

DULU 'SALAHKU' KINI 'SALAHKU 3.0'. ADA BEZA KE YONNYBOII?

LAGU ‘Salahku’ dicipta oleh penyanyinya sendiri, Yonnyboii pada tahun 2019, mempunyai dua versi iaitu versi demo dan versi penuh namun lagu ini menjadi siulan ramai apabila melatari drama ‘Budak Tebing’ yang ditayangkan di TV3 pada April lalu. 

Kini, sekali lagi lagu tersebut mendapat sentuhan baharu dengan judul ‘Salahku 3.0’. Kenapa diberi nafas baharu agaknya? 


Buat mereka yang belum mengenali dengan lebih dekat pemilik nama penuh Muhammad Haqeem Nuriman  Nor Azrin, 22,  ini, kerjaya seninya baharu setahun jagung, namun nama bintang rapper muda ini terbukti pantas meningkat naik.


Sehingga kini, beliau sudah mempunyai tiga buah lagu dendangan dan ciptaannya iaitu 'Sakit' (duet bersama Zyn Akal), ‘Kelabu’ (duet bersama Azlan Typewriter) dan ‘X Missing You (kolaborasi bersama Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique yang ketiga-tiganya berjaya tersenarai di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke 35.



Kali terakhir, beliau muncul dengan lagu ‘Boleh Bla’ pada September lalu.


Pun begitu, penulis sendiri rasa lagu ‘Salahku’ yang diperkenalkan melalui drama ‘Budak Tebing’  merupakan lagunya paling berkesan apabila bercakap atau pun bertemu Yonnyboii sekali pun. 


Lagu itulah yang bermain dalam minda Kak Fas setiap kali bercerita atau pun bertembung dengan komposer muda ini dalam sesebuah majlis.


Barangkali kerana itu, Yonnyboii mengambil langkah pro aktif dalam memperkenal dan melancarkan versi terbaharu single terdahulunya, ‘Salahku’ kepada ‘Salahku 3.0’.


Sehingga ke hari ini lagu berkenaan masih mendapat sambutan peminat muzik Malaysia waima video lirik rasmi yang dimuatnaik sejak April lalu telah mencapai lebih 3.3 juta tontonan. 


Manakala video muzik rasmi ‘Salahku’ pula berjaya menjana lebih 6 juta tontonan sejak dilancarkan pada Ogos lalu. 


Jadi, jika dikira dengan jumlah tontonan video persembahan 'live' dan video tidak rasmi berkaitan lagu ini di saluran-saluran YouTube, lagu 'Salahku' ini sebenarnya sudah menjana belasan juta tontonan di YouTube.


Ini tidak termasuk dengan jutaan kali lagunya dimainkan di platform penstriman muzik digital. 


Jadi tidak hairanlah, bagi mengekalkan kelangsungan lagu tersebut Yonnyboii mempertaruhkan versi terbaharu pada sebuah lagu lama dengan judul 'Salahku 3.0'.

Wah! Lagu pun dah ikut  macam label pada  gadget pulak ya mengikut peredaran masa dan model dari 1.0, 2.0 dan 3.0 seterusnya.


Apa pun, jika versi demo berdurasi 2 minit yang pernah dikongsikan di media sosial tahun lalu dan  versi penuh pula berdurasi  hampir 4 minit ( tonton video muzik bawah) yang dilancarkan pada April tahun ini, menerusi ‘Salahku 3.0’ ia berdurasi 3:15 minit sahaja.


“Dalam versi terbaharu ini, lagu ini bukan sahaja diberi gubahan yang lebih segar malah lirik lagu ini juga dirombak sedikit bagi menyuntik semangat dan jiwa berbeza. 


“Walaupun perubahannya nampak kecil namun ia membawa makna yang sedikit berbeza. Saya menyerahkan kepada peminat untuk menilai apa yang cuba saya sampaikan menerusi versi terbaharu ini,” ujar Yonnyboii ringkas.


Tidak mahu bercerita panjang Yonnyboii berharap pendengar  dapat menilai perbezaaan ‘Salahku 3.0’ dengan versi terdahulunya.


Lagu terbitan  Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia ini sudah boleh didengar di platform digital seperti kebiasaannya.


Apa kata korang layan video lirik lagu 'Salahku 3.0' ini  di saluran YouTube Universal Music Malaysia dan hayatinya. 


Ada beza ke tidak? Mana lebih sedap versi lama atau versi baharu (bawah sekali)? Tepuk dada tanya selera halwa telinga ya!



#Yonnyboii #Salahku #Salahku 3.0 #Muzik-Muzik35 #Rapper #AzlanTypewriter










Tiada ulasan: